KUALA LUMPUR: Kebenaran ‘dine-in’ atau makan di restoran dan premis-premis lain masih terhad kepada individu lengkap vaksinasi COVID-19 dan terpakai di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan perkara berkenaan selepas peralihan fasa membabitkan beberapa negeri mencetuskan kekeliruan orang ramai berhubung kebenaran untuk ‘dine-in’.

“Keperluan vaksinasi lengkap untuk dine-in kekal bagi semua fasa pemulihan,” kata Khairy.

“Peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak dikemaskini.”

Jelasnya, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan berhubung perkara berkenaan.


BACA: PPN: Lembah Klang, Melaka dan Kedah alih fasa hari ini

Pada Rabu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 memutuskan peralihan fasa PPN melibatkan beberapa negeri berkuatkuasa 1 Oktober 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan peralihan Fasa 2 kepada Fasa 3 di kawasan Lembah Klang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor.

Sementara Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Kedah pula beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.